Dua biji sehari cukup untuk bekalan kandungan nutrisi yang diperlukan tubuh
BUAH kiwi mempunyai pelbagai kandungan nutrisi yang diperlukan
setiap hari sebagai diet sihat. Cukup sekadar menikmati dua biji buah
kiwi bersaiz sederhana setiap hari, tubuh kita lengkap dengan khasiat
yang diperlukan.
Buah kiwi bukan saja sedap, malah dikatakan sajian gizi terbaik untuk
dinikmati kerana mempunyai sumber mineral seimbang, vitamin semula jadi
dan membekalkan antioksidan untuk tubuh. Vitamin C, serat dan potasium
juga dikesan terdapat dalam buah kiwi. Kajian mendapati buah kiwi
mempunyai sehingga 120 kandungan kalori atau 60 kalori dalam sebiji buah
kiwi untuk tubuh manusia.
Menariknya menurut fakta, buah kiwi mengandungi dua kali
ganda jumlah vitamin C berbanding oren selain mengandungi dua kali ganda
vitamin E berbanding avokado. Kandungan khasiatnya sesuai untuk
hidangan mereka yang mementingkan kesihatan dan pesakit kencing manis
kerana mengandungi indeks glisemik (GI) yang rendah serta mengandungi
serat sama tinggi dengan hidangan emping bijirin.
Pengurus Sains Kesihatan Zespri International Limited, Lynley
Drummond, berkata pengambilan makanan memberi kesan terhadap kesihatan
keseluruhan tubuh dan rata-rata masyarakat disaran memakan lebih banyak
mengambil buah-buahan serta sayur-sayuran kerana kandungannya padat
dengan nutrien bermanfaat.
Katanya, satu hidangan dua buah kiwi mempunyai lebih banyak
vitamin C berbanding dua biji oren, selain mengandungi kandungan tinggi
potasium daripada pisang dan tinggi serat makanan daripada semangkuk
bijirin.
“Terdapat banyak peranan baru yang ditemui dalam vitamin C.
Kesannya dalam kesihatan yang baik lebih nyata kerana ia penting.
Vitamin C dapat mengawal peranannya dalam sel pertumbuhan manusia.
“Buah kiwi dikesan meningkatkan glukos dalam sel metabolisme dalam
badan selain berfungsi untuk sel darah merah. Vitamin C yang terdapat
dalam buah kiwi membantu meningkatkan tahap fungsi vaskular iaitu
pembuluh darah dan arteri, malah membekalkan darah ke dalam tubuh,”
katanya ketika ditemui sempena lawatan media ke New Zealand, baru-baru
ini.
-->
Berikutan gelombang penyebaran wabak influenza H1N1 kedua berlaku,
baru-baru ini, menyebabkan warga dunia berhati-hati dengan pengambilan
makanan. Sehubungan itu, masyarakat disaran menukar makanan atau
buah-buahan yang kaya dengan bahan imunisasi seperti buah kiwi.
Drummond berkata, manfaat untuk kesihatan buah kiwi kaya dengan
nutrien membantu mencegah penyakit, memberi tenaga selain pilihan diet
harian yang mudah.
“Buah kiwi sesuai dimakan mentah bersama kulitnya. Selain menjadi
penambah selera apabila dimasukkan dalam masakan, secara puratanya buah
kiwi menyediakan kandungan vitamin C dan juga bahan lain seperti folat,
potasium dan zink yang sangat penting untuk mengekalkan kesihatan
menyeluruh,” katanya.
Justeru itu, bagi meningkatkan tahap kecergasan dan tenaga dalam
badan, nikmati buah kiwi dan antara syarikat yang mengedar buah
berkenaan ialah Zespri Kiwifruit. Dua jenis kiwi yang dikeluarkan ialah
Zespri® Green (hijau) dan Zespri® Gold (emas). Buah kiwi keluaran Zespri
bukan saja menyediakan kandungan vitamin dan nutrisi, sebaliknya turut
menjadi sumber karbohidrat dan mempunyai kandungan antioksida.
Zespri ™ International Limited adalah pemasar buah kiwi terbesar
di dunia dan menjual buah kiwi ke lebih daripada 60 negara. Beribu
pejabat di Mount Maunganui, New Zealand iaitu daerah pengeluaran buah
kiwi terbesar di negara berkenaan, Zespri ditubuhkan pada 2000 ekoran
penstrukturan semula industri buah kiwi bagi bertujuan mewujudkan satu
titik tumpu untuk mengeksport buah kiwi keluaran New Zealand.
Baik untuk kesihatan
Buah berkenaan dikenal pasti padat dengan khasiat nutrisi dan
menduduki tempat teratas di dalam model kepadatan nutrisi buah-buahan.
Buah kiwi menyediakan lebih banyak vitamin dan mineral untuk setiap gram
dan setiap kalori dalam sebiji buah kiwi berbanding dengan buah-buahan
lain seperti oren, kranberi, beri biru, buah delima, pisang dan epal.
Drummond berkata, menurut kajian buah kiwi Zespri ditemui membantu
meningkatkan sistem ketahanan tubuh, meningkatkan daya kesihatan
pencernaan dan prestasi otot selain dapat mengurangkan inflamasi serta
kerosakan sel.
“Penelitian terbaru itu adalah sebahagian daripada program ilmu
Zespri bagi menunjukkan manfaat kesihatan buah kiwi di samping menyokong
kajian terdahulu yang menunjukkan buah kiwi boleh membantu menguatkan
pertahanan alami untuk perlindungan seharian,” katanya.
Beliau berkata, kajian yang didapati dalam buah kiwi hijau dan
kuning Zespri menyediakan banyak antaranya meningkatkan tahap imunisasi
semula jadi dalam badan selain bertindak balas dengan cepat terhadap
selsema dan penyakit lain.
“Buah kiwi Zespri kuning dan hijau dapat mengurangkan keradangan
yang berkaitan dengan penyakit untuk jangka masa panjang seperti radang
sendi, barah, penyakit jantung, kencing manis dan masalah berat badan.
Ia dapat membantu mencapai keseimbangan optimum antara bakteria baik dan
buruk serta mampu melindungi serangan barah berkaitan enzim dalam
pencernaan yang lebih rendah. Ia juga mampu melindungi otot terhadap
tekanan oksidatif berkaitan dengan sukan,” katanya.
Buah kiwi sarat juga dengan phytonutrients yang baik bagi tahap
kesihatan kerana menghasilkan polyphenols sebagai antioksidan dalam
tubuh, enzim untuk pencernaan dan karotenoids yang bermanfaat sebagai
antioksidan selain kesihatan mata.
Ditanya mengenai perbezaan antara buah kiwi hijau dan emas
keluaran Zespri, Drummond berkata, bezanya ialah dari segi rasa. Buah
kiwi hijau mempunyai rasa lebih masam dan kelat sementara kiwi emas
mempunyai rasa pula cukup masak dan tropika seperti gabungan rasa buah
mangga, tembikai dan sitrus.
Selain itu, bentuk buah kiwi emas lebih lonjong dengan kulit licin
dan terdapat bentuk mahkota diatasnya, manakala buah kiwi emas pula
berbentuk lebih bulat.
Memakan buah Kiwi Zespri™ dengan kerap antara cara mudah bagi
mendapatkan kandungan nutrien penting untuk badan. Buah kiwi Zespri
boleh membantu kita berasa lebih sihat dan dapat menikmati usia lebih
panjang.
Jika mahu menjaga badan dan inginkan tenaga lebih, maka buah Kiwi
Zespri™ seharusnya menjadi pilihan. Bukan saja padat dengan khasiat
nutrien, ia juga rendah lemak dan mempunyai kadar GI rendah secara
semula jadi. Menikmati hidup lebih sihat menyeluruh yang lebih baik,
jadikan buah kiwi sebagai amalan pemakanan rutin harian.
FAKTA: Kandungan buah kiwi
vitamin C - mempunyai dua kali ganda vitamin C berbanding buah
oren. Kandungan yang hanya perlu diambil dua biji buah kiwi setiap hari
untuk mendapatkan kadar yang disarankan.
Vitamin E - jarang sekali terdapat dalam makanan rendah
lemak semula jadi. Lebih-lebih lagi buah boleh menjadi sumber vitamin E
(dikenali sebagai vitamin yang kaya dengan kebaikan untuk kesihatan
jantung dan antioksidan)
Asid Folik - sumber semula jadi diperlukan bagi menghalang
kecacatan neutral di kalangan bayi (manusia memerlukan asid folik
sebelum dan ketika hamil) untuk perkembangan otak dan kognitif di
kalangan kanak-kanak dan menghalang penyakit kardiovaskular. Setiap
orang memerlukan zat itu dalam kadar yang mencukupi. Asid folik penting
sehinggakan ada negara yang mempertimbangkan untuk menambahkan asid
folik ke dalam tepung gandum untuk memastikan masyarakatnya memperoleh
asid folik mencukupi.
Potasium - mempunyai tahap yang hampir sama dengan pisang.
Buah kiwi sumber potasium rendah garam berpotensi memberi manfaat dalam
penjagaan tekanan darah dan kesihatan jantung.
Lutein karotenoid - bukan saja mempunyai kandungan Lutein
karotenoid tertinggi di kalangan buah-buahan, tetapi buah kiwi
dibuktikan jauh lebih baik dari sayuran dari segi bio. Ia boleh membantu
masalah penglihatan yang berkait dengan usia tua.
Antioksidan (contohnya polifenol, karotenoid) - berfaedah
termasuk enzim unik lain. Memakan buah kiwi setiap hari adalah cara
mudah untuk mendapatkan keperluan antioksidan seharian bagi melawan
kerosakan yang disebabkan olah radikal bebas dan tekanan oksidatif.
Serat - Buah kiwi sesuai dimakan untuk mengurangkan rasa
kembung dan tersumbat. Diiktiraf sebagai pembantu kepada sistem
pencernaan semula jadi.
Sumber